suria

Teliti Dahulu Pelan Pembangunan Pendidikan Sebelum Bagi Pandangan - Wee Ka Siong

SEREMBAN: Mana-mana pihak yang ingin menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, perlu terlebih dahulu meneliti dan memahami kandungan pelan tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, ini bagi mengelak mereka membuat andaian sendiri atau terikut-ikut dengan pandangan pihak lain yang langsung tidak memahami kandungan pelan tersebut.

"Perkara-perkara yang ditulis dalam pelan tersebut perlulah diteliti dan sekiranya mereka ada apa-apa pandangan, mereka boleh bawa kepada kementerian kita.

"Sebab saya nampak ada yang terikut-ikut hujah pihak tertentu yang kononnya dalam pelan tersebut ada hujah untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Pertandingan Junior Robothon Eduspec kali ke-7 peringkat kebangsaan di SJK Cina Sin Hua, di sini Ahad.

Katanya, pelan tersebut dengan jelas menyatakan kedudukan SJK Cina dan Tamil yang dikekalkan termasuk penggunaan bahasa pengantar masing-masing iaitu Bahasa Mandarin dan Tamil, namun masih ada pihak menyalahtafsirkan perkara tersebut.

Wee berkata, pemahaman tentang pelan itu juga amat penting bagi mengelak mana-mana pihak memberikan tafsiran buruk dengan mengatakan kononnya terdapat muslihat tertentu dalam pelan tersebut.

"Semasa pelancaran pelan itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa pelan itu adalah laporan awal yang akan dibuka untuk pandangan masyarakat.

"Bermaksud, itu adalah satu dokumen yang belum dimuktamadkan, jadi kalau ada pihak yang menganggap macam mereka tidak ada saluran untuk menyatakan pandangan, itu tidak benar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain