suria

Raja Ahmad Zainuddin Dibenar Rayu Keputusan Kes Saman Fitnah

PUTRAJAYA: Anggota Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertanggungjawab kerana fitnah dalam satu kes saman.

Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang membenarkan permohonan itu, akan mendengar rayuan Raja Ahmad Zainuddin pada tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah itu juga akan memutuskan satu isu perundangan iaitu sama ada penasihat lembaga editorial boleh dipertanggungjawabkan atau bertanggungjawab kerana fitnah, dalam ketiadaan bukti bahawa beliau mempunyai sebarang kawalan atau input dalam penerbitan fitnah yang didakwa.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datuk Sulong Matjeraie dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Raja Ahmad Zainuddin memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu bahawa beliau bertanggungjawab bagi penyiaran artikel fitnah oleh Mingguan Watan dalam edisi Disember 2008 bertajuk 'Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan).'

Pada 30 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan saman PKINK dan memutuskan Raja Ahmad Zainuddin bertanggungjawab kerana fitnah.

Raja Ahmad Zainuddin disaman PKINK dalam kapasiti beliau sebagai penasihat jabatan editorial Mingguan Watan.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Timbalan Pendaftar menaksir ganti rugi dalam saman itu.

PKINK turut menamakan M.Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain