suria

Pemilik Kedai Runcit Rugi RM100,000 Dalam Kebakaran Di Puchong

PUCHONG: Seorang peniaga mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila kedai runcit yang diwarisi sejak zaman datuknya musnah dalam kebakaran melibatkan dua premis di Batu 11, di sini, malam Ahad.

Lim Lee Kwan, 49, berkata kebakaran pada 9 malam itu turut merosakkan sebuah lori selain wang tunai RM5,000.

Lim berkata beliau telah menutup kedainya lebih awal iaitu pada 12 tengah hari berbanding hari biasa pada 7 malam dan keluar makan malam bersama keluarganya, pada 8 malam.

"Kira-kira 9.30 malam, ada rakan telefon nampak kedai saya terbakar dan bila saya sampai api telah marak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik kedai makan, J.Periasamy, 66, berkata beliau sudah seminggu tidak menjalankan perniagaan kerana cuti Deepavali dan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM30,000, akibat kebakaran itu.

Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Mohd Wasir ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.55 malam.

Tiga jentera bersama 18 anggota dari balai Puchong, Subang Jaya dan Seksyen 7 Petaling Jaya mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain