suria

Jadi PM: MCA Mahu Hadi Jelaskan Pendirian

SEMENYIH: MCA mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan dengan jelas tentang kesediaan menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum.

Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, media melaporkan bahawa Abdul Hadi telah menyatakan kesediaan beliau menjadi Perdana Menteri manakala majoriti perwakilan PAS di muktamar yang baru berakhir telah mengikrar sokongan mereka terhadap perkara ini.

"Kami sedar Hadi tidak menafikannya. Kami, di MCA, mahu beliau membuat pendirian jelas mengenai perkara itu," katanya di Kelab Sosial Semenyih, Selangor pada Ahad.

Dilaporkan bahawa Abdul Hadi telah mengalu-alukan saranan perwakilan PAS supaya beliau dilantik sebagai perdana menteri jika Pakatan berkuasa.

Dr Chua juga mengkritik PAS kerana tidak memberi perhatian kepada isu-isu sosio-ekonomi negara semasa muktamar.

Beliau berkata parti Islamis itu telah mengabaikan kepentingan isu-isu ekonomi.

Sebaliknya, tumpuan diberikan untuk melangkah ke Putrajaya dan bagaimana untuk menyebarkan agama mereka, tambah beliau.

Beliau berkata PAS jelas menggunakan Islam untuk kepentingan politik.

"Ia adalah sebuah parti tanpa cita-cita dan agenda politik. Kami sentiasa berkata di antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, PAS masih dominan dan mahu menggantikan Umno," katanya.

Beliau berjanji bahawa MCA akan terus mendedahkan dan bercakap tentang PAS dan agenda hudud.

Dr Chua juga berkata masyarakat Cina tidak seharusnya memusnahkan negara ini dengan menyokong parti yang tidak boleh menawarkan pelan pembangunan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata BN telah memimpin negara dengan baik, yang dapat dibuktikan melalui keputusan Pelan Transformasi Kerajaan yang menunjukkan pertumbuhan prodk domestik kasar 5.2 peratus.

Artikel Lain