suria

Mayat Mangsa Lemas Di Sungai Buit Keluang Ditemui

BESUT: Mayat mangsa lemas Norhaslin Abu Hassan, 36, yang hilang di Sungai Buit Bukit Keluang dekat sini Jumaat lalu ditemui pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 9.28 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut di satu kawasan sangkar ternakan ikan kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mangsa hilang.

Katanya, mayat mangsa yang merupakan seorang penyelenggara stor sebuah syarikat perubatan di Petaling Jaya, Selangor itu telah dibawa ke Hospital daerah Besut untuk bedah siasat.

Dalam kejadian Jumaat petang itu Norhaslin bersama isterinya Nordiana Mat Jusoh, 35, dan lima anak saudaranya telah pergi ke kawasan sungai berkenaan untuk berehat setelah tiba dari Petaling Jaya untuk bercuti di rumah mertuanya di Kampung Lak Lok Jerteh.

Ketika bersiap-siap pada jam 6.30 petang untuk pulang, seorang daripada anak saudaranya Mohd Hfizi Sharol, 5, terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika hendak membasuh tangan.

Mangsa yang menyedari kejadian itu kemudiannya terjun untuk menyelamatkan anak saudaranya tetapi air panas dengan harus deras telah menghanyutnya ke tengah sungai sebelum hilang.

Bagaimanapun, anak saudaranya Mohd Hafizi sempat diselamatkan beberapa orang pemancing ikan yang kebetulan berada di tempat kejadian dan membawanya ke Hospital Daerah Besut untuk menjalani rawatan. - BERNAMA

Artikel Lain