suria

SPDP Akan Kemuka Calon Mampu Menang & Setia Kepada Parti

SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan mengemukakan calon yang bukan sahaja mampu menang, tetapi juga akan terus setia kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

"Apabila anda tidak lagi setia kepada kami, ertinya anda juga tidak setia lagi kepada Barisan Nasional (BN), Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kedudukan mereka masing-masing sebagai ketua BN negeri dan persekutuan," kata presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dalam ucaptamanya pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-10 parti itu di sini malam Jumaat .

Beliau berkata BN, ketua menteri dan perdana menteri memerlukan anggota B Nyang setia, dalam usahanya menyatupadukan seluruh rakyat untuk memajukan negara. SPDP juga, kata Mawan, akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan kerusi Baram, Saratok, Mas Gading dan Bintulu yang disandangnya sekarang pada pilihan raya Parlimen di Sarawak kelak.

Dalam tempoh 10 tahun lepas, kata beliau, SPDP melakukan pelbagai penyusunan semula dan rekayasa secara dalaman.

"(Anggota) sayap Puteri dan Putera kita, yang terdiri daripada mereka yang muda, setia dan profesional akan tampil ke hadapan untuk memainkan peranan lebih besar dalam parti," katanya.

Mawan berkata memang terdapat kecenderungan dalam kalangan parti yang menganggotai keluarga BN negeri untuk cuba mengatasi satu sama lain.

"Kita sedar dan faham tentang perkara ini. Selagi ia dilakukan secara adil, kita boleh menerimanya, tapi kita tidak akan biarkan diri kita dibuli.

"Orang lain akan sentiasa cuba mengambil kesempatan daripada masalah dalaman kita, tapi saya yakin kita akan tetap kuat dan bersatu," katanya.

Mengenai tindakan kira-kira 900 orang yang keluar daripada parti itu di sini dua hari lepas, beliau berkata ia tidak menjejaskan SPDP dan parti itu masih kuat kerana mempunyai lebih 100,000 anggota dan setiap hari, ia menerima permohonan daripada mereka yang ingin menjadi anggotanya. -BERNAMA

Artikel Lain