suria

Tune Hotels LCCT Akan Ditutup Sebaik Sahaja Hotel Baru Dibuka Di KLIA2

KUALA LUMPUR: Tune Hotels Group merancang untuk menutup hotel bajetnya di terminal penerbangan kos rendah (LCCT) di Sepang, sebaik sahaja ia membuka Tune Hotel baharu di KLIA2 Disember tahun depan.

Pengarah komersil Tune Hotels Group, David Lusteaux berkata, hotel baharu itu di KLIA2 akan bersambung dengan terminal utama.

"Kami akan membuka hotel baharu (di KLIA2) dengan 400 bilik dan Tune Hotel di Sepang sekarang akan beroperasi sehingga ia dibuka," katanya kepada pemberita di majlis ulang tahun kelima kumpulan hotel itu.

Lusteaux berkata, selain KLIA2, kumpulan itu juga merancang untuk membuka 20 lagi rangkaian Tune Hotels di India, Australia, serta di Amerika Syarikat, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Beliau juga berkata, sejajar dengan ulang tahunnya yang kelima, syarikat itu telah mencipta rekaan dan jenama baharu untuk menarik golongan muda.

"Pada masa ini, separuh daripada empat juta tetamu adalah dari golongan muda. Kami mahu meningkatkan angkanya kepada sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus daripada 50 peratus sekarang," tambahnya.

Syarikat itu juga menyasarkan untuk menggandakan tetamunya tahun depan, daripada empat juta sekarang, dengan menggandakan bilangan bilik di hotel-hotelnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain