suria

Tukang Masak Nasi Kandar Ditemui Mati Dalam Tandas Restoran

GEORGE TOWN: Seorang tukang masak warga India sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru di sini, ditemui mati dengan keadaan lehernya hampir terputus di dalam tandas restoran itu Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Nasir Salleh berkata dalam kejadian pukul 8 malam itu, polis mendapat panggilan mengatakan seorang lelaki terjatuh di dalam tandas berkenaan dengan pintu berkunci dari dalam.

"Sepasukan bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi memecah masuk pintu tandas terbabit dan kita jumpa mayat M. Muthuraj, 33, dalam keadaan berlumuran darah terlentang dalam tandas itu," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Katanya polis turut menemui sebilah pisau pemotong daging di lokasi kejadian.

Polis percaya lelaki itu mengelar lehernya sendiri kerana pintu tandas berkenaan berkunci dari dalam, katanya menambah polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Mohd Nasir berkata lelaki itu dikatakan telah bekerja selama empat tahun di restoran berkenaan dan polis telah menghubungi kedutaan India untuk tindakan selanjutnya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain