suria

Polis Sabah Percaya Mangsa Culik Di Perairan Luar Negara

KOTA KINABALU: Polis Sabah percaya dua mangsa yang diculik lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di pantai timur Sabah pada Rabu lepas kini berada di perairan luar negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedudukan mereka juga sudah dikenal pasti.

"Kita boleh agak di mana mangsa berada," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini, Jumaat.

Hamza berkata setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada keluarga mangsa termasuk mengenai tuntutan wang tebusan dan sebagainya daripada pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Dalam kejadian antara 3.30 dan 4.30 petang itu, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya diculik dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50 km dari pekan Lahad Datu.

Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes culik dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain