suria

PM Umum Liberalisasi 6 Subsektor Lagi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan liberalisasi enam lagi subsektor di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik Persaingan, Standard dan Liberalisasi.

Enam subsektor itu ialah perkhidmatan undang-undang, perkhidmatan pakar perubatan, sekolah antarabangsa, universiti swasta dan telekomunikasi, iaitu Pembekal Fasiliti Jaringan (NFP) dan Pembekal Perkhidmatan Jaringan (NSP).

"Ini bermakna, sejumlah 15 daripada 17 subsektor yang diumumkan ketika belanjawan telah diliberalisasikan.

"Dua lagi, perkhidmatan kejuruteraan dan seni bina, serta satu subsektor baharu, ukur bahan, akan diumumkan sebaik sahaja pindaan perundangan berkaitan liberalisasi itu diluluskan," katanya ketika mengumumkan perkembangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini.

Beliau berkata, kerajaan juga menekankan kepada memastikan syarikat tempatan menepati piawaian antarabangsa, dan oleh itu boleh bersaing dalam pasaran global.

"Dengan sasaran ini, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan program Keselamatan Makanan adalah Tanggungjawab Industri (MeSTI), sebuah program keselamatan makanan untuk memudahkan pematuhan dengan kebersihan makanan dan keperluan keselamatan oleh industri makanan mikro, kecil dan sederhana."

Mengenai perkembangan Teras, satu program di bawah SRI untuk Merapatkan Jurang Perbezaan , Najib berkata sejumlah 246 syarikat telah dikenal pasti setakat ini di bawah program yang memenuhi kriteria tertentu.

"Saya gembira melihat daripada jumlah ini, 15 syarikat telah menerima kelulusan untuk dana TERAS dengan pinjaman sejumlah RM190 juta dan tiga syarikat telah menerima kelulusan untuk dana bantuan sejumlah RM47.2 juta untuk tiga projek bernilai RM385 juta."

Najib juga menyeru lebih banyak PKS Bumiputera menjadi syarikat TERAS menerusi laman web TERAJU.

Artikel Berikut

Artikel Lain