suria

Pesara Perkeso Maut Terlanggar Tayar Lori

KUANTAN: Seorang pesara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditemui mati dalam longkang selepas motosikal ditunggangi terbabas ketika cuba memotong sebuah treler yang membawa muatan kelapa sawit, di Kilometer 5, Jalan Bentong-Karak, Benus, dekat sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang, mangsa R Ganesan, 53, dari Taman Perumahan Simpang Kalang, dekat Raub, mati di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Pegawai Penguatkuasa Trafik dan Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pahang ASP Zainal Abidin Othman, berkata ketika kejadian, mangsa yang cuba memotong lori berkenaan terlanggar tayar belakang kenderaan berat itu mengakibatkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam longkang di kiri jalan.

"Namun, mangsa yang terhumban ke longkang dikatakan lemas kerana longkang berkenaan terdapat air selain mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Katanya, pemandu treler itu, Hashim Osman, 30, mendakwa dia menyedari tindakan mangsa yang cuba memotongnya.

"Polis juga sudah mengambil keterangan daripada pemandu treler terbabit dan ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, malam Rabu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain