suria

PAS Tekad Tegakkan Islam, Kekal Konsep Kebajikan - Hadi

KOTA BARU: PAS akan terus mempertahankan dan menegakkan perjuangan Islam menerusi konsep negara berkebajikan yang diperkenalkannya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, agenda negara berkebajikan adalah selari dengan amalan Islam yang menitikberatkan hubungan sesama manusia terutamanya antara rakyat dan pemimpin.

"Kebajikan pertama ialah pemimpin yang adil yang disebut siyasah (politik) mentadbir urusan negara dengan Islam yang adil untuk semua.

"Adil dalam pemerintahan negara tanpa mengira kawan dan lawan adalah kebajikan pertaman kerana besar cabarannya dan hebat perjuangannya...serta banyak kebajikannya," katanya menerusi Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini, Jumaat.

Selain itu Abdul Hadi berkata, PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam konsisten untuk menawarkan konsep pentadbiran Islam terutama untuk mentadbir sebuah negara yang mengandungi masyarakat berbilang kaum.

"Hanya berkebajikan yang berkonsepkan adil untuk semua dapat menyatukan hati manusia majmuk, mewujudkan perpaduan tulen kerana manusia adalah makhluk yang bernyawa, berperasaan dan berakal.

Setiap manusia yang sama akal dan perasaannya tetap menerima kebajikan yang berteraskan keadilan," katanya.

Menerusi Ucapan Dasar bertemakan 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan', Abdul Hadi turut memberi jaminan bahawa konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS turut memberi keadilan kepada masyarakat bukan Islam.

Tegasnya, konsep keadilan itu juga terpakai bagi masyarakat bukan Islam kerana tiada paksaan bagi mereka untuk memeluk Islam.

"Kita ingin memerintah dengan adil berdasarkan konsep kebajikan yang diterima secara sejagat tanpa paksaan menganut Islam.

"Perjuangan Rasulullah SAW pada awalnya didukung oleh penganut Islam dan juga turut disertai oleh kalangan bukan Islam yang menentang kezaliman," katanya

Artikel Berikut

Artikel Lain