MSDN Hubungkan Saintis Malaysia Di Seluruh Dunia - Semasa | mStar

MSDN Hubungkan Saintis Malaysia Di Seluruh Dunia

GOLD COAST (Australia): Rangkaian Perantau Saintifik Malaysia (MSDN), yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini Khamis, akan menjadi platform utama untuk menghubungkan saintis Malaysia di seluruh dunia dan mempromosi penyelidikan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing untuk kebaikan negara.

Inisiatif MSDN adalah sebahagian daripada agenda nasional untuk mengajak warga Malaysia di luar negara yang memiliki kepakaran supaya menyumbang kepada pembangunan negara.

Berucap pada majlis yang dihadiri kira-kira 100 pakar Malaysia di Australia, Muhyiddin, yang sedang melakukan lawatan kerja sembilan hari ke negara ini, berkata komuniti saintifik Malaysia yang berada di mana sahaja boleh menggunakan rangkaian itu untuk membincangkan isu berkaitan sains dan penyelidikan, di samping mewakili suara komuniti saintifik Malaysia di seluruh dunia.

Mereka juga boleh menggunakan rangkaian itu untuk menyalurkan idea bersama yang berharga untuk menambah baik penyelidikan saintifik dan meningkatkan pembangunan di Malaysia, menggalakkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perkongsian ilmu pengetahuan serta memberi panduan kepada penyelidik muda, katanya.

"Kami yakin, rangkaian perantau saintifik ini merupakan sumber bakat yang berharga, yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pengetahuan dan pemindahan kemahiran, yang seterusnya memajukan lagi penyelidikan saintifik di Malaysia.

"Secara tidak langsung, saintis Malaysia yang bekerja di luar negara boleh menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara melalui kerjasama mereka dengan para penyelidik yang berada di Malaysia," katanya.

Kewujudan rangkaian ini juga akan membolehkan penyelidik menggunakan sumber yang wujud di luar organisasi individu dan menyediakan arah tuju strategik dalam meningkatkan kemampuan sumber manusia bagi menambah baik daya saing negara, katanya.

Muhyiddin berkata adalah diharapkan MSDN akan mengandungi rakyat Malaysia yang bekerja di Australia, penyelidik bukan rakyat Malaysia yang bekerja di Australia tetapi berminat untuk bekerjasama dengan penyelidik di Malaysia dan penyelidik bukan rakyat Malaysia yang bekerja di Malaysia.

Rangkaian ini juga bermatlamat menjalin hubungan dengan komuniti saintifik berprestij di Australia seperti Australian Academy of Sciences, Australian Academy of Technological Sciences and Engineering dan Akademi Sains Sosial, katanya.

Sambil menyatakan kegembiraan beliau kerana Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia mengambil daya usaha untuk menubuhkan MSDN, Muhyiddin berkata beliau berharap rangkaian itu akan diurus dan digunakan secara strategik untuk membolehkan saintis Malaysia menyumbang secara berkesan kepada pemindahan teknologi dan pertumbuhan di Malaysia.

"Perantau Malaysia adalah aset yang sangat bernilai kepada negara kita, aset yang ingin kita bina dan majukan secara terus menerus untuk manfaat negara kita," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain