suria

Majlis Perniagaan Australia-Malaysia Tawar Anugerah Merdeka Untuk Penuntut Malaysia

GOLD COAST: Majlis Perniagaan Australia-Malaysia berhasrat memberikan anugerah Merdeka kepada penuntut ijazah sarjana muda cemerlang Malaysia dalam bidang pelajaran dan ko-kurikulum yang menuntut di Australia.

Cadangan pemberian anugerah, yang belum diputuskan bentuknya itu, dimaklumkan pegawai tinggi majlis perniagaan itu ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan lawatan kerja sembilan hari ke Australia.

Berterima-kasih atas inisiatif majlis perniagaan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata anugerah itu akan diberikan kepada penuntut Malaysia cemerlang di peringkat negeri dan nasional di Australia.

Pemberian anugerah itu dijangka dimulakan di negeri bahagian selatan Australia sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain dan ke peringkat nasional, katanya.

Terdapat antara 8,000 dan 9,000 penuntut Malaysia di beberapa universiti terkemuka di Victoria, negeri yang terletak di selatan Australia.

"Mana-mana pelajar dari universiti yang dianggap mencapai tahap (cemerlang) bukan sahaja keputusan peperiksaan tetapi juga dalam bidang-bidang lain yang baik juga diambil kira," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata majlis perniagaan itu akan memaklumkan secara terperinci asas pertimbangan pemberian anugerah berkenaan dan majlis perniagaan itu akan melantik satu panel untuk memproses permohonan yang diterima.

Beliau berkata Education Malaysia, antara badan yang menjaga hal ehwal penuntut Malaysia di sebarang laut, boleh berperanan mendapatkan senarai penuntut Malaysia yang mencapai kecemerlangan untuk dikemukakan pada panel penilai itu.

"Bila dia kata hendak mula tawarkan, dia boleh buka (buat tawaran), kita akan dapatkan maklum balas lebih terperinci (mengenai tawaran)," katanya.

Australia adalah antara destinasi pilihan penuntut Malaysia untuk ke sebarang laut kerana faktor jarak ke tanah air dan kualiti pendidikan yang ditawarkan universiti ternama di negara itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain