suria

Kumpulan Pecah Rumah Dan Curi Kenderaan Di Kota Kinabalu Tumpas

KOTA KINABALU: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam lapan kes pecah rumah dan mencuri kenderaan yang keseluruhan bernilai hampir RM240,000 di sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata suspek yang berusia antara 25 dan 52 tahun itu ditahan di beberapa lokasi mulai 9 Nov hingga Selasa lepas.

"Siasatan mendapati kumpulan ini memecah masuk enam buah rumah termasuk merompak sebuah kedai emas di Pekan Telipok pada 2 Nov lepas dan mencuri dua kenderaan jenis pacuan empat roda," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kumpulan itu yang diketuai lelaki berumur 26 tahun dipercayai aktif melakukan jenayah sejak empat bulan lepas, selepas dia keluar dari penjara pada Mac.

"Polis melakukan serbuan ke atas rumah ketua kumpulan ini di Menggatal dan menemui peralatan yang diguna dalam kegiatan mereka sebelum berjaya menangkap kesemua anggota kumpulan," katanya.

Hamza berkata lelaki berkenaan juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan kes dadah dan pecah rumah.

Dalam serbuan itu, polis menemui sebahagian barangan yang dicuri termasuk komputer riba, beberapa unit cakera padat atau VCD, tujuh utas rantai emas dan jam tangan tiruan berjenama. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain