suria

Kereta Api Bt Bendera Dijangka Pulih Sabtu

GEORGE TOWN: Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera yang tergendala akibat masalah teknikal sejak petang semalam, dijangka pulih menjelang Sabtu.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Maklen Ali berkata, kereta api itu sebenarnya tidak mengalami kerosakan serius atau terhenti dilandasan, sebaliknya ia hanya mengalami masalah teknikal dan bergerak perlahan.

Katanya, PHC kesal dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kononnya terdapat penumpang yang terperangkap dalam gerabak berikutan pintu kereta api itu gagal berfungsi.

"Tiada kes penumpang terperangkap yang berlaku dan kereta api itu sebenarnya masih bergerak dengan kelajuan 20 minit berbanding 7 minit sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, punca gangguan perkhidmatan itu disebabkan kegagalan sistem komunikasi dan penghubung gerabak dan PHC telah membuat pengumuman kepada semua pengunjung dengan menggunakan sistem pembesar suara di stesen atas bukit.

Beliau berkata, PHC memohon maaf kepada semua penumpang dan masalah teknikal yang berlaku adalah di luar jangkaan.

Katanya, lebih 1,300 pengunjung ke Bukit Bendera telah dibawa turun dengan kereta api berkenaan sehingga 11.30 malam, semalam. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain