suria

IPT, NGO Disaran Perbanyak Kempen Budayakan Keselamatan Jalan Raya

SHAH ALAM: Institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran memperbanyakkan kempen membudayakan keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara ini.

Ketua Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata inisiatif oleh pihak IPT dalam melaksanakan kempen itu akan lebih berkesan memandangkan institusi itu lebih dekat dengan golongan berkenaan.

"Pihak polis sangat menggalakkan program seperti ini kerana usaha ini secara langsung akan membantu penguatkuasa mengurangkan kemalangan jalan raya menerusi aspek pendidikan.

"Budaya perlu disemai dan diulang-ulang sehingga menjadi satu amalan, kalau buat sekali sekala sukar untuk perkara ini diamal dan dibudayakan," katanya pada sidang akhbar selepas bersama-sama Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti & ICT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Suhaimi Abdul Talib melepaskan konvoi kempen keselamatan jalan raya universiti itu di sini Jumaat.

Seramai 111 penuntut luar kampus UiTM menyertai konvoi selama tiga hari ke Pulau Pinang tajaan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Shell Shah Alam.

Mengulas mengenai penganjuran konvoi kempen keselamatan itu, Abdul Aziz berkata inisiatif oleh UiTM secara tidak langsung menjadi contoh dan dorongan kepada IPT lain untuk mengambil pendekatan yang sama.

"Melalui program seperti ini, peserta akan didedahkan kepada cara pemanduan atau tunggangan motosikal yang betul serta berhemah. Mereka juga didedahkan dengan aspek keselamatan yang betul sepanjang berkonvoi," katanya.

Pengarah program itu Muhamad Jamil Harun berkata sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang, peserta konvoi akan singgah di empat hentian Rehat dan Rawat (R&R) bagi mengedar risalah serta poster mengenai keselamatan jalan raya.

Beliau berkata apabila tiba di Pulau Pinang, peserta konvoi akan terlibat dalam program khidmat masyarakat bersama penduduk Kampung Permatang Damar Laut.

"Peserta akan menyertai kenduri dan gotong royong, program ceramah kempen keselamatan jalan raya anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang dan sukan rakyat.

"Matlamat kami mengadakan program ini ialah untuk menyerap budaya keselamatan jalan raya di kalangan peserta dan memberi kesedaran serta penerangan kepada masyarakat luar mengenai kempen keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain