suria

Hadi: Saya Puas Hati Dengan Harakah

KOTA BARU: Selepas Harakah dikritik hebat secara terbuka oleh ahlinya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil membela lidah rasmi parti itu kerana menurutnya akhbar berkenaan berjaya memainkan peranan mereka dengan baik.

Malah Presiden PAS itu turut memuji sidang editorial Harakah walaupun mempunyai keupayaan yang terbatas.

"Sekarang ini saya puas hati dengan Harakah berdasarkan keupayaan mereka...walaupun hanya dapat kebenaran (dijual) kepada ahli sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai usul yang diluluskan pada muktamar Dewan Pemuda PAS yang menggesa agar sidang editorian Harakah dirombak kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai medium penyebaran maklumat gerakan Islam.

Bukan itu sahaja, menurut mereka mutu pemberitaan Harakah juga disifatkan semakin merosot dan kurang berkredibiliti serta menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

Ditanya mengenai mutu kandungan pemberitaan Harakah, Abdul Hadi berkata: "Kita kena sedar Harakah berada di persimpangan untuk ahli dan rakyat...kita kena sedar juga bahawa Harakah ini terhad," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hadi bagaimanapun berkata kepimpinan PAS Pusat akan meneliti setiap usul dan krtikan yang dikemukakan perwakilan.

"Kita orang Islam tiada yang sempurna, saya pun tak sempurna, orang boleh kritik saya, dan kita terima nasihat, cuma masalah dalaman parti kita bincang dalaman parti," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain