suria

Gaduh : Ahli Perniagaan Mati Ditembak

TAPAH: Seorang ahli perniagaan mati ditembak dalam satu pergaduhan di Jalan Pahang di sini malam Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, DSP Abdullah Arshad berkata, S. Manivannan, 37, yang menjalankan perniagaan sewa beli jentera berat meninggal dunia di Hospital Tapah pada 12.15 tengah malam Jumaat.

"Mangsa yang tinggal di Kampung Baru, Ayer Kuning dipercayai telah bertemu sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Jalan Tapah dan berlaku pergaduhan.

"Mangsa kemudian ditembak oleh dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan pistol automatik di beberapa bahagian badan sebelum dua lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh orang awam.

Abdullah berkata sejurus selepas kejadian, polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 20 dan 35 tahun di sekitar Pekan Tapah dan kesemua mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang dikenali sebagai K. Vimalan, 33, dari Jalan Temoh, Chenderong dan S.Visnu, 27, dari Taman Kampar Jaya.

Katanya kedua-dua lelaki itu amat berbahaya kerana memiliki senjata api dan dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes jenayah sebelum ini yang membabitkan rompakan dan dadah. Abdullah berkata punca kejadian masih belum diketahui dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Asp Mohd Nasri Fadzir di talian 05-4015222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain