suria

Dua Beradik, Rakan Didakwa Pecah Masuk Kedai

IPOH: Dua beradik dan seorang rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas tuduhan memecah masuk sebuah kedai dan melarikan pelbagai barangan termasuk binatang jinak semuanya bernilai RM2,902, Rabu lepas.

Zuhairi Zakaria, 29, adiknya Zizan, 22, yang berasal dari Pulai Tiga, Kampung Gajah dan Muhammad Hafeez Mohd Azman, 18, dari Desa Tambun, di sini didakwa memecah masuk kedai Ben Exotic Pet Shop di No 488, Jalan Besar Gunong Rapat milik Chung Weng Kee, 45.

Ketiga-tiga mereka yang memakai baju lokap berwarna oren didakwa di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana melarikan sebuah komputer riba, dua tabung kebajikan, dua beg makanan binatang, dua bakul kucing, dua ekor kucing jenis Bengal dan Siam serta wang tunai semuanya dengan nilai berjumlah RM2,902.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 18 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya K. Kavitha. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain