suria

Bekas Tentera Dipenjara 3 Bulan Akibat Curi Sepeket Susu

KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang bekas tentera yang mengaku bersalah mencuri sepeket susu tiga hari lepas.

Penolong Kanan Pendaftar Jesseca Damis memerintahkan hukuman ke atas Mohd Sobir Kashim, 32, dijalankan bermula hari ini.

Mohd Sobir yang tidak diwakili peguam, didakwa mencuri sepeket susu jenama Anlene Gold seberat 660 gram berharga RM21.99 di Pasaraya Jaya Gading, Semambu dekat sini, pada 2.15 petang, 13 Nov lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kedua atau selepasnya boleh dipenjarakan, denda atau sebatan.

Jesseca dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan sering berlaku dalam masyarakat walaupun kes melibatkan amaun yang kecil.

"Kamu adalah seorang bekas tentera dan sepatutnya kamu tidak buat kesalahan ini dan setelah mengambil kira rayuan kamu mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan ke atas kamu dan hukuman dijalankan bermula dari hari ini," katanya.

Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Padang Serai, Kedah, dalam rayuannya berkata dia terpaksa mencuri susu tersebut untuk dijual dengan alasan dia tidak mempunyai wang bagi membeli makanan untuk anak perempuannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain