suria

Polis Tahan Lima Lelaki Amerika Latin Terlibat Kes Pecah Rumah

SHAH ALAM: Lima lelaki dipercayai anggota Geng Latin yang terlibat dalam kes pecah rumah ditahan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong pada Isnin lepas (12 November).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata ketika serbuan 9.30 malam itu, suspek berbangsa Amerika Latin terbabit pada mulanya enggan membuka pintu rumah dan bertindak agresif apabila cuba menyerang polis, malah ada cuba melarikan diri namun mereka berjaya ditangkap.

Beliau berkata dalam serbuan itu, seorang wanita warga Thailand berusia 22 tahun turut ditahan ketika dia cuba bersembunyi di dalam bilik air di rumah tersebut.

Zahedi berkata, modus operandi kumpulan itu menyasarkan kawasan perumahan mewah di bandar raya ini seperti di Bukit Jelutong, Seksyen 7,8,11,12 dan 13 di mana mereka akan menekan loceng pintu terlebih dahulu bagi memastikan penghuni tiada di rumah sebelum memecah masuk dengan mengumpil pintu pagar.

"Dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, pemotong besi, dua batang playar, tiga batang pemutar skru, sebatang kikir besi, sebatang tukul besi, sebatang spanar boleh laras dan tiga pasang sarung tangan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini.

Beliau berkata, polis juga berjaya menemui barangan yang disamun suspek seperti dua komputer riba, 10 utas jam tangan dan barangan perhiasan wanita, sekeping nombor pendaftaran kereta WMD 6073 dipercayai palsu, dua bungkusan mengandungi syiling Yuen China dan syiling RM1, dua botol arak serta bagasi berisi peralatan pecah rumah.

Zahedi berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai menyewa kereta mewah untuk menjalankan kegiatan pecah rumah dan pihaknya sedang mengesan saki baki anggota kumpulan itu.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati empat daripada lima suspek terbabit yang berusia antara 22 hingga 51 tahun positif ganja.

Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 16 Nov ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah, katanya.

Zahedi berkata, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen dan pejabat kedutaan untuk menyiasat kesahihan rekod perjalanan serta kewarganegaraan kesemua suspek.-BERNAMA

Artikel Lain