suria

Perwakilan Tegur Pemuda PAS Banyak 'Main Politik'

KOTA BARU: Pemuda PAS ditegur kerana terlalu agresif memberi tumpuan kepada agenda politik nasional berbanding pembangunan kepimpinan dalaman sayap parti itu.

Malah Pemuda PAS turut dipersoalkan kerana dilihat lebih kerap 'bermain politik luar' terutamanya membabitkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti komponen pakatan pembangkang.

Persoalan itu dibangkitkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Karang, Muhd Jafarudin Sheikh Daud mengenai aktiviti sayap parti itu yang dilihat lebih menumpukan kepada agenda dan kepentingan nasional.

"Kita lihat banyak sangat aktiviti politik luar, semuanya terarah kepada peringkat nasional dan NGO.

"Begitu kurang aktiviti pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada Pemuda PAS sendiri," katanya pada sesi soal jawab sebelum laporan tahunan Pemuda PAS diluluskan pada muktamar kali ke-53 di sini, Khamis.

Selain itu Muhd Jafaruddin turut mempersoalkan aktiviti anjuran Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO yang dilihat seolah-olah mengabaikan kumpulan yang mewakili kaum Melayu.

Jelas beliau, Pemuda PAS gagal mendekati kumpulan NGO Melayu yang dilihat begitu penting khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Terlalu banyak fokus kepada perpaduan nasional, sehingga kita lupa kepada tanggungjawab terhadap mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu sendiri.

"Diharapkan pada masa akan datang kita boleh dekati kumpulan NGO yang mewakili orang Melayu dikalangan penggiat sukan mahukan silat," katanya.

Artikel Lain