suria

Pembantu Rumah: Kerajaan Akan Bincang Dengan Indonesia, Filipina, Kemboja Dan Sri Lanka

MELAKA: Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan bilangan kemasukan pembantu rumah ke negara ini melalui perbincangan dengan empat negara sumber utama iaitu Indonesia, Filipina, Kemboja dan Sri Lanka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perbincangan juga akan dibuat bersama agensi pembantu rumah Malaysia dan negara-negara berkenaan termasuk mengenai kos pengambilan pembantu rumah yang dijangka semakin meningkat.

"Keadaan sekarang berbeza dengan dahulu kerana terdapat pelbagai perubahan melibatkan negara sumber pembantu rumah kita terutama dari segi ekonomi mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbukanya sempena Deepavali di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan pembantu rumah di negara ini.

Subramaniam berkata Malaysia juga terpaksa bersaing dengan beberapa negara lain yang menawarkan pelbagai insentif sehingga menyebabkan agensi dan pembantu rumah cenderung memilih negara berkenaan.

Beliau berkata pada masa ini, masih terdapat kemasukan pembantu rumah dari Sri Lanka dan Filipina ke Malaysia tetapi dalam bilangan yang kecil sementara Kemboja menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara ini susulan isu penderaan melibatkan rakyatnya.

"Bagi Indonesia, walaupun proses penghantaran pembantu rumah ke negara ini berjalan lancar tanpa sebarang halangan namun jumlah kemasukan mereka tidak memuaskan berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata ia ekoran wujudnya persaingan dari negara lain yang menawarkan gaji yang tinggi untuk pembantu rumah Indonesia berbanding yang ditawarkan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata pihaknya menyeru rakyat terutama kaum India agar memberi sokongan padu kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kawasan Batu Caves seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa.

Beliau berkata usaha itu hanya dapat dijayakan sepenuhnya jika BN memperoleh mandat dan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Projek kondominium 29 tingkat yang dirancang dibangunkan kerajaan Selangor di kawasan itu perlu dihentikan kerana dikhuatiri menjejaskan kawasan berkenaan sebagai tempat beribadat untuk kaum India dan destinasi pelancongan negara. - BERNAMA

Artikel Lain