suria

Pemandu Dan Kelindan Treler Maut Kemalangan

BENTONG: Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler yang membawa muatan besi buruk, maut selepas kenderaan berat itu merempuh pembahagi jalan di KM42 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong di sini, malam Rabu.

Treler itu dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar sebuah kereta Myvi, yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Unit Peronda Lebuhraya Karak, dalam kejadian 9.25 malam itu, Mohd Yusof Mansor, 38, dan kelindannya yang belum dikenali identitinya, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu dan kelindan treler berkenaan terpelanting keluar daripada kenderaan itu. Tangan kelindan itu putus dan mukanya pula hancur," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta Myvi itu, cedera parah dan dihantar orang ramai ke hospital berdekatan.

Kemalangan itu menyebabkan lalu lintas bergerak perlahan sejauh kira-kira lima kilometer di bahagian lebuhraya itu. BERNAMA

Artikel Lain