suria

Malaysia Kutuk Serangan Israel Di Gaza, Gesa PBB Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR: Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas berhubung apa yang disifatkan sebagai tindakan ketenteraan tidak bertanggungjawab oleh Israel yang menyasarkan orang awam di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh aktiviti ketenteraan dan serangan udara Israel di Gaza, yang telah membunuh seorang pemimpin Palestin dan meragut tujuh nyawa termasuk dua kanak-kanak.

"Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghentikan sebarang tindakan provokatif, bertenang dan mengekang sebarang tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar dan kehilangan nyawa, terutama di kalangan penduduk awam di Semenanjung Gaza," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata Malaysia juga menuntut Israel menghentikan serta merta tindakan ketenteraan ke atas rakyat Palestin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin (AP) Awang Sufian Awang Piut meminta kerajaan Malaysia berbuat sesuatu kerana tindakan tidak berperikemanusiaan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya seorang pemimpin Hamas dan tujuh nyawa termasuk dua kanak-kanak. "Kami berharap rakyat Malaysia mengambil perhatian yang lebih serius mengenai isu Gaza kerana melalui sumber-sumber kami di sana, terdapat kemungkinan apa yang berlaku pada tahun 2008/2009 akan berulang. "Mereka memerlukan doa dan bantuan rakyat Malaysia, ini sememangnya tanggungjawab kita," katanya di sini.

Menurutnya sumber pejabat Aman Palestin di Gaza melalui pengurus cawangan AP Gaza Ir. Omar Seyam menyatakan serangan masih berterusan di Gaza dan mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga. "Laporan Omar mengatakan Gaza berada dalam keadaan genting dan berjaga-jaga sekarang untuk menerima sebarang kemungkinan," katanya.

Dalam pada itu, Viva Palestina Malaysia (VPM) menggesa pemberhentian segera serangan udara dan pengeboman serta menamatkan pengepungan Gaza.

Peengerusinya Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata pengeboman secara besar-besaran sejak 24 jam lepas mengimbas kembali pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel semasa Operasi 'Cast Lead' pada Disember 2008.

"Pembunuhan beramai-ramai kini yang dikenali Operasi 'Pillar of Defense' merupakan satu lagi paparan menghina undang-udang antarabangsa oleh Israel dan alasan kekejaman diterima norma kewujudan bersama, kedua-duanya dalam masa keamanan dan peperangan," katanya.

Beliau turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan broker dunia lain supaya berindak pantas dan mengekang perbuatan kejam Israel atau tidak lama lagi akan menjadi tali barut Zionis seperti sesetengah pihak membenarkan ia berlaku dengan sewenang-wenangnya di Timur Tengah dan seterusnya. "Kami bersimpati dengan nasib malang rakyat biasa di Gaza, kehilangan nyawa, harta dan hak asasi manusia sehingga kepada kemanan, kebebasan dan keadilan," tegasnya.BERNAMA

Artikel Lain