suria

Asas Perjuangan BN Dahulukan Kebajikan Rakyat - Rais

JELEBU: Asas perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah mendahulukan kebajikan rakyat dan membela nasib rakyat secara berterusan dan bukannya bermusim, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kerajaan BN menzahirkan kasih sayang kepada rakyat dalam bentuk tindakan dan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup mereka, tidak seperti parti tertentu yang menunjukkan kasih sayang melalui 'perkataan' sahaja.

"Kebanyakan pihak menganggap berjuang itu bermusim tapi BN di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) mempunyai visi yang jelas.

"Sama ada pilihan raya atau tidak, perjuangan kita tetap sama, dan kemampuan kita (BN) untuk membantu masyarakat pada tahap maksimum selalu," katanya kepada pemberita semasa Program Kunjungan Kasih ke perkampungan Orang Asli, Kampung Ulu Lakai, di sini, Khamis.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata perkampungan tradisi masyarakat Orang Asli di negara ini tidak pernah dipinggirkan kerajaan dengan pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Katanya, sentimen dan adat resam serta kepercayaan masyarakat Orang Asli juga sentiasa dihormati dan diberi perhatian sewajarnya.

Pada majlis itu, Rais mengumumkan pemasangan percuma Pakej Astro Njoi iaitu akses percuma kepada lebih 18 saluran televisyen dan 19 saluran radio, kepada lebih 60 keluarga masyarakat Orang Asli di kampung tersebut yang akan dipasang mulai hujung tahun ini.

"Kami akan bermuafakat dengan Astro di bawah skim khas Astro Njoi ini, kita akan sampaikan televisyen kepada penghuni di sini dalam konteks persediaan baru, dan akan diikuti oleh kawasan-kawasan lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain