suria

Umno Kutuk Kejadian Rogol Wanita Indonesia

PETALING JAYA: Umno pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya kejadian rogol terhadap wanita Indonesia yang didakwa dilakukan oleh tiga anggota polis Malaysia.

Setiausaha Agong Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan meminta kerajaan mengambil tindakan keras kepada pesalah tersebut.

“Umno kesal dan terkilan dengan demonstrasi yang berlaku di Republik Indonesia sehingga bendera Malaysia dibakar dan Duta Besar Malaysia di Indonesia didesak meninggalkan negara tersebut.

“Umno berharap insiden ini tidak melarat hingga menyebabkan jalinan akrab antara Malaysia-Indonesia terlerai kerana perkara sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, Rabu.

Tambahnya hubungan baik antara Malaysia-Indonesia perlu dikekalkan dan setiap isu berbangkit perlu diselesaikan secara aman.

“Isu berkaitan jenayah rogol, pihak berkuasa telah mengambil tindakan segera malah tiga anggota polis terlibat telah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Umno turut meminta agar semua pihak tidak memandang negatif terhadap Polis Diraja Malaysia lantaran segelintir individu dalam badan keselamatan ini memalukan pihak berkuasa terbabit.

“Saya ingin menegaskan bahawa Umno sentiasa mendukung Perlembagaan Malaysia dan prinsip keluhuran undang-undang dengan pihak yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain