suria

Tiga Rakyat Asing Antara Suspek Kejadian Pecah Mesin ATM

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti tiga lelaki asing dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam enam kes pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di ibu negara sejak Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata identiti suspek itu dikesan berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Tiga suspek asing itu ialah seorang rakyat Peranchis berusia 46 tahun dan dua warga Guatemala, masing-masing berumur 22 dan 25 tahun, yang dikaitkan dengan kes di di Jalan Wan Kadir 1, Taman Tun Dr Ismail dan Taman Midah, Cheras.

Dua suspek tempatan pula disyaki terlibat dengan kejadian pecah mesin ATM di sebuah pasar raya di Wangsa Maju dan Jalan Peel, Cheras serta di Stesen LRT Universiti dan di kampus Universti Malaya yang melibatkan anggaran kerugian RM1.17 juta pada 1 Julai lepas.

Polis percaya kesemua suspek masih berada di negara ini, dengan tiga suspek warga asing pernah dilihat di Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini, katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Ku berkata dari 2011 hingga kini, sebanyak 10 kes pecah mesin ATM dilaporkan menyebabkan kerugian RM2.2 juta, manakala empat lagi cubaan tidak berjaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain