suria

Polis Buru Tujuh Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang kini memburu tujuh lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pembantu kedai makan di Kampung Kovil, Kepala Batas dekat sini awal pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kesemua lelaki terbabit beralamat di sekitar kawasan Kepala Batas dan mereka dipercayai mengenali mangsa, A. Rathanam, 27.

Beliau berkata pada kejadian pukul 5.15 pagi semalam, mangsa dikatakan bertelingkah dengan sekumpulan lelaki yang sedang makan dan berbual di hadapan sebuah rumah di kampung itu.

Akibat pertengkaran itu, kumpulan lelaki terbabit kemudiannya membelasah lelaki itu sebelum menetaknya dengan parang dan menghentak kepala mangsa dengan pasu bunga.

Mangsa mati ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya pada pukul 12.50 tengah hari.

Mazlan berkata mereka yang sedang diburu itu ialah Satyaseelan Munnindy, 23, Devraj Murugaya, 24, Navhin Thannimalai, 20, Kirubakaran Muniandy, 21 Sarran Raaj Nair Ravuni, 21, Suresh Kumar Subramaniam, 18, dan Sharma Govindan, 28.

Beliau berkata susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun pada pukul 10.30 pagi semalam di rumahnya di Kepala Batas dan hasil siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah kerana dendam.

Mazlan berkata polis turut menemui sebilah parang panjang, tiga serpihan pasu bunga dan topi kaledar yang mempunyai tompokan darah di lokasi kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pengawai penyiasat ASP Md Zailani Md Zain di talian 012-5788991 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain