suria

Ku Li Yakin BN Capai Kemenangan Pada PRU-13 Nanti

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan dan kekal menerajui negara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, ini kerana rakyat menerima banyak pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan BN bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi transformasi yang diperkenalkan.

"BN tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan pada PRU-13 berikutan rakyat berada dalam keadaan selesa selepas banyak pelaksanaan kemajuan yang dicurahkan kerajaan sebelum ini.

"Memang sebelum ini sebilangan kecil mereka yang tidak menerima transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri itu, tetapi sejak kebelakangan ini mereka telah memahami perkara sebenar mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas penyampaian bantuan Titik Sentuhan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop, di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai banyak tanah di kawasan penempatan Orang Asli diambil balik kerajaan negeri untuk pembangunan ladang, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu perlu diadakan rundingan bagi menyelesaikannya.

Beliau berkata, JAKOA bersama Orang Asli perlu berbincang secara telus mengenai masalah yang dihadapi kaum berkenaan kerana jika tidak berbuat demikian akan menimbulkan banyak masalah untuk masa depan mereka.

"Kita (pemimpin) tempatan juga boleh campur tangan bagi menyelesaikan perkara itu, tetapi kita mahu melihat sejauh mana perbincangan jabatan terbabit dengan kerajaan negeri.

"Memanglah Kelantan lain daripada Negeri Pahang, Perak dan Selangor yang menyediakan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli, tetapi (di) Kelantan perlu berunding bagi mencari jalan penyelesaiannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain