suria

JPJ Diberi Notis Alih Kamera AES Di Kajang Dalam Tempoh 14 Hari

SHAH ALAM: Satu notis telah dihantar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta mereka mengalihkan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di bandar Kajang.

Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah memaklumkan JPJ supaya mengalihkan kamera tersebut dalam tempoh 14 hari, yang mana selepas tempoh itu pihak majlis perbandaran sendiri akan menghapuskannya.

"Dalam Akta Kerajaan Tempatan, mana-mana struktur yang dibina di atas tanah, tidak kira sama ada ia milik individu, organisasi atau agensi kerajaan, mesti mendapatkan Kebenaran Merancang daripada majlis perbandaran tempatan," katanya kepada pemberita Rabu.

Liu berkata dia tidak mempunyai tarikh sebenar notis dihantar kepada JPJ, tetapi berkata tidak ada permohonan sama ada daripada JPJ, kontraktor AES atau Kementerian Pengangkutan dibuat kepada MPKj untuk memasang kamera AES.

Pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) minggu lepas, kerajaan negeri memutuskan untuk mengharamkan pelaksanaan AES di negeri ini.

Liu mencadangkan agar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha meminta nasihat daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung mengenai perkara itu.

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain