suria

Empat Individu Maut Kemalangan Di Jambatan P.Pinang Disahkan Warga Indonesia

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang pada Selasa mengesahkan empat individu yang terlibat dalam kemalangan atas Jambatan Pulau Pinang pada 28 Oktober lepas adalah warga Indonesia.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis telah menyiasat identiti pemandu kereta yang menggunakan nama rakyat tempatan Sadisafizan Saad, 36, terbabit selepas seorang lelaki di Selangor mendakwa kad pengenalan yang terdapat pada mayat mangsa adalah miliknya.

Beliau berkata pegawai penyiasat telah dihantar ke rumah lelaki yang mengatakan dirinya adalah Sadisafizan yang tinggal di Kampung Selayang Baru, Batu Caves, Selangor bagi mengesahkan dakwaan terbabit.

"Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu telah menjumpai dan menggunakan kad pengenalan Sadisafizan yang dilapor hilang pada 28 Sept tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan identiti Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dan seorang wanita Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tembok Jambatan Pulau Pinang.

Abdul Rahim berkata seorang lagi penumpang wanita tanpa dokumen pengenalan diri yang berusia lingkungan 20-an juga telah meninggal dunia selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang beberapa hari selepas kemalangan itu berlaku.

Beliau berkata kes itu dianggap telah selesai kerana semua mangsa yang terlibat dalam nahas itu telah meninggal dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain