suria

Tiga Beranak, Pembantu Rumah Maut Dalam Kebakaran Banglo Dua Tingkat

SEDIH… Lokman Hafiz Mohd Hakimi, 13, bersama adiknya Aizad Fahmi Mohd Hakimi, 8, kelihatan sugul ekoran kehilangan kedua ibubapanya serta adik bongsu mereka yang terkorban dalam kebakaran ketika ditemui di Tanah Perkuburan Tekah, Asam Kumbang, Taiping, Selasa.

TAIPING: Kegembiraan seorang bapa apabila anak lelakinya memanjangkan tempoh bercuti untuk menghabiskan masa lebih lama dengannya, bertukar tragedi hiba apabila anaknya itu bersama menantu, cucu dan pembantu rumah maut dalam kebakaran yang berlaku tengah malam Isnin.

Akauntan di Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd Hakimi Zubair, 40, isterinya seorang pakar teknologi maklumat, Leila Sahak, 40, anak bongsu mereka Ahmad Faris, 3, serta pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia maut dalam kebakaran di rumah banglo dua tingkat itu.

Kejadian itu berlaku di perumahan kerajaan di No 299, Lorong 2, Jalan Dato Seri Ahmad, Taman Pegawai Kanan Kerajaan di Assam Kumbang, di sini.

Kesemua mereka yang terkorban berada di tingkat atas rumah itu dan mereka dipercayai lemas akibat asap tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kebakaran tersebut kira-kira 12.24 pagi Selasa.

"Empat mangsa yang berada di tingkat atas maut dipercayai akibat lemas. Seorang mangsa ditemui di pintu keluar menuju ke balkoni rumah manakala tiga mangsa yang lain ditemui di bilik tidur utama. Ketika pihak kami tiba, rumah itu sudah 50 peratus terbakar. Kebakaran berlaku bermula di bahagian tingkat atas rumah," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata manakala tiga lagi anak pasangan itu, Lokman Hafiz, 13, Ain Najwa, 11 dan Aizad Fahmi, 8, terselamat.

Turut terselamat bapa kepada Mohd Hakimi iaitu Zubair.

Zubair berkata, anak lelakinya yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik, pulang semula ke rumahnya selepas bercuti di Bukit Merah Lake Town Resort dan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur petang Isnin.

"Tapi anak saya batalkan, tak jadi balik. Saya pun seronok sebab dia nak duduk dengan saya lama sikit," katanya.

Katanya Mohd Hakimi yang merupakan graduan dari University of Manchester, dijadualkan berlepas ke London pada Sabtu ini untuk bertemu adik lelakinya sebelum melaksanakan tugasan di Ireland.

Sementara itu katanya, urusan penghantaran pulang jenazah pembantu rumah dari Sumatera itu telah dirujuk ke pejabat Kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut.

Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan pada Selasa di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Hidayah, Assam Kumbang di sini. - BERNAMA

Artikel Lain