suria

Tiada Halangan Laksana Program Khas Pelajar Pintar - TPM

MELBOURNE: Kerajaan tidak menghalang sekiranya terdapat badan persendirian atau pengusaha swasta yang ingin menawarkan program khas untuk pelajar pintar yang dilaksanakan di luar negara di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata program khas untuk pelajar pintar sedemikian seperti yang ditawarkan G.A.T.E.WAYS di Australia mampu merangsang kecergasan dan kecerdasan menguasai bidang-bidang tertentu.

Namun, katanya kementerian tidak bercadang menjadikan program sedemikian sebagai sebahagian daripada pengajaran rasmi di sekolah kerajaan.

"Jika ada pihak yang berminat hendak buat terserah pada mereka. Mungkin mereka perlu bekerjasama dengan sekolah antarabangsa," katanya kepada wartawan Malaysia selepas diberi taklimat mengenai program G.A.T.E.WAYS di sini pada Selasa.

G.A.T.E.WAYS adalah pertubuhan bebas yang mengendalikan program hujung minggu untuk pelajar pintar dan berbakat dalam suasana pembelajaran tidak formal tetapi masih berorientasikan akademik.

Program tersebut meliputi pendedahan dalam bidang seperti sains, matematik dan kepemimpinan. Latihan singkat bagi program itu dilakukan oleh pakar bidang seperti saintis, penulis buku, ahli muzik atau tokoh politik dan korporat.

Program-program G.A.T.E.WAYS disusun untuk memupuk minat pelajar dalam bidang tertentu dan membantu mereka menceburi bidang itu secara lebih mendalam.

Mengenai pertemuan beliau dengan Ketua Menteri Victoria Ted Baillieu pada Isnin, Muhyiddin berkata beliau memaklumkan bahawa Malaysia boleh menjadi destinasi kepada pelajar Australia untuk mengikuti pengajian tinggi pada kos yang lebih efektif.

Ini kerana Malaysia kini mempunyai beberapa kampus cawangan universiti dari Australia yang menawarkan program bertaraf antarabangsa seperti Monash University, Swinburne University dan Curtin University, katanya.

Beliau berkata dengan nilai dolar Australia yang tinggi, ia menjadikan kos pembelajaran di Malaysia jauh lebih rendah berbanding Australia.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau akan meneruskan program bertemu pelajar Malaysia di luar negara bagi menerangkan usaha-usaha kerajaan.

Dalam pertemuannya dengan pelajar seberang laut sebelum ini termasuk di Melbourne Ahad lepas, beliau berkata pelajar-pelajar yang hadir mengemukakan soalan-soalan yang bernas dan tidak provokatif. BERNAMA

Artikel Lain