suria

Siasatan Wanita Indonesia Diperkosa Polis 95% Selesai

GEORGE TOWN: Status siasatan kes berhubung seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa diperkosa tiga anggota polis dalam sebuah balai di Perai, dekat sini Jumaat lepas 95 peratus selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sehingga kini polis telah merekodkan keterangan daripada 10 saksi dan kertas siasatan akan diserah kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Beliau memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat secara telus tanpa melindungi pihak-pihak tertentu dan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mempercepatkan siasatan.

"Kita gesa supaya masyarakat tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan antara kedua buah negara," katanya dalam sidang akhbar di sini, Selasa.

Dalam kejadian itu, seorang wanita warga Indonesia mendakwa terpaksa melayan nafsu tiga anggota polis yang menahannya di kawasan flat di Perai, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah balai polis berhampiran kira-kira 6.20 pagi, Jumaat lepas.

Abdul Rahim berkata mangsa Siti Maemanah Kasman, 25, kini ditempatkan di Kedutaan Indonesia Pulau Pinang buat sementara waktu.

Katanya tiga anggota berpangkat rendah berusia 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan reman sehingga 16 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata tiga suspek terbabit boleh dilucutkan keanggotaan serta-merta sekiranya terbukti bersalah.

Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Kedutaan Indonesia Sofiana Mufidah yang turut hadir pada sidang akhbar itu meminta rakyat Indonesia bertenang dan mengawal emosi berhubung kejadian itu serta berharap kes itu diselesaikan secara adil.

"Warga Indonesia ikut bersimpati terhadap mangsa, justeru kita harap ia tidak berulang lagi dan kita minta supaya semua bersabar menunggu sehingga siasatan selesai," katanya. BERNAMA

Artikel Lain