suria

Ceupacs Pandang Serius Tindakan Agensi Kerajaan Berhentikan Pekerja Kontrak

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memandang serius tindakan agensi kerajaan yang memberhentikan pekerja kontrak terutama yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Sambil menyifatkannya sebagai zalim, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM), berkata pihaknya kesal bahagian sumber manusia dalam setiap agensi berkenaan tidak mengambil berat perkara itu.

"Ini adalah perkara zalim. Mereka yang sudah berkhidmat 10 tahun memanglah gaji sudah mahal, maka majikannya mencari alasan mengatakan prestasi mereka tidak baik dan seterusnya tidak menyambung kontrak pekerja itu.

"Tetapi dalam masa dua bulan kakitangan kontrak baharu sudah dilantik," katanya pada sidang media sempena mesyuarat GAKUM di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas dekat sini, Isnin.

Omar berkata Cuepacs memutuskan bahawa kesemua 45,000 kakitangan berstatus kontrak di semua sektor kerajaan hendaklah diserapkan ke jawatan tetap. "Kalau tidak dapat "ditetapkan" disebabkan jawatan terhad dan sebagainya, kontrak mereka haruslah disambung, dan keputusan itu turut disokong GAKUM" katanya.

Sementara itu, GAKUM, Persatuan Pentadbir Universiti dan Persatuan Akademik Universiti telah menyediakan dan menyerahkan memorandum Skim Saraan Universiti (SSU) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Naib-naib Canselor (JKNC) untuk dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Omar berkata memorandum itu diserahkan kepada JKNC pada 23 Oktober lepas dan berharap SSU itu dapat dilaksanakan pada tahun depan atau 2014.

Katanya SSU itu memperincikan cadangan agar setiap Universiti mempunyai satu sistem kenaikan pangkat, latihan, dan gred gaji yang lebih baik yang merangkumi semua peringkat akademik, pentadbiran dan kumpulan pelaksana dalam Universiti.

Omar berkata GAKUM turut mencadangkan satu insentif khas kepada kakitangan akademik sejumlah RM1,200, kakitangan Pentadbiran RM800 dan kumpulan pelaksana RM500 diberikan enam universiti yang bakal dinaikan taraf ke Universiti Penyelidikan.

"Universiti ini mempunyai sedikit perbezaan daripada Universiti lain dan penaiktarafan sudah pasti akan menambah beban penyelidikan, pelajar dan pelajar luar negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain