suria

BN Janji Batal Projek Kondo Batu Caves Jika Menang - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa memberi jaminan bahawa kawasan Batu Caves akan dipertahan daripada sebarang kerosakan atau ancaman yang boleh menjejaskannya.

Beliau berkata jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang, ia akan membatalkan cadangan projek pembangunan kondominium 29 tingkat di kawasan itu selain mencadangkan supaya Batu Caves diisytihar sebagai tapak warisan dunia.

Najib menarik perhatian Batu Caves begitu dekat di hati penganut agama Hindu dari dalam dan luar negara serta disanjung sebagai tempat yang tinggi kedudukannya di sisi mereka.

"Kita tidak mahu pembangunan di kawasan ini mengancam masa depan kompleks Batu Caves. Pengakuan yang saya buat ini, sepertimana yang kita tahu (berdasarkan) kerajaan BN adalah kerajaan 'Janji Ditepati'," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks Batu Caves di sini.

Projek kondominium yang dirancang dibina berhampiran bukit batu kapur itu mendapat tentangan pelbagai pihak kerana dilihat akan menjejaskan kawasan dan penduduk di sekitarnya.

Mengulas lanjut, Najib berkata cadangan menjadikan Batu Caves sebagai tapak warisan dunia perlu dibawa ke Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) selepas tempoh Malaysia menjadi anggota Suruhanjaya Warisan Dunia tamat pada 2015.

Usaha itu akan dilakukan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Kita tidak boleh buat permohonan buat masa ini kerana boleh berlaku 'conflict of interest' (konflik kepentingan). Tempoh kita akan berakhir pada 2015, dan pada masa itu kita akan mengemukakan (permohonan) secara rasmi supaya kompleks Batu Caves diisytihar Unesco sebagai tapak warisan dunia," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan cuti am Deepavali akan mencakupi Wilayah Persekutuan Labuan.

"Walaupun Labuan tidak mempunyai ramai penganut Hindu tetapi...kerana Labuan ialah sebahagian dari Wilayah Persekutuan, maka mereka juga layak menikmati hari Deepavali sebagai cuti am," kata Najib.

Beliau menyifatkan rumah terbuka Deepavali anjuran MIC yang berlangsung di Batu Caves buat kali kedua itu sebagai amat meriah dan pengunjung yang hadir menyambut perayaan itu dilihat mencerminkan semangat 1Malaysia.

"Semangat 1Malaysia yang didukung oleh rasa saling menghormati antara pelbagai kaum, agama dan budaya yang dipupuk selama ini merupakan tunjang negara kita," tegas beliau sambil mengucapkan tahniah kepada kepimpinan MIC atas penganjuran acara itu.

Artikel Lain