suria

Rumah Perlindungan Sementara Tidak Pernah Mendaftar Dengan JKM

PETALING JAYA: Rumah persinggahan untuk ibu tunggal di Gombak tidak pernah cuba untuk membuat sebarang pendaftaran terhadap rumah perlindungannya sejak 2003, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Noormah Abd Rauf.

Beliau berkata Kem Modal Insan Kewaja bukan sahaja beroperasi secara haram, malah ia juga tidak mempunyai kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengubah dua buah rumah satu tingkat kepada tempat perlindungan.

"Mereka hanya datang kepada kami untuk mendapatkan nasihat. Jadi, apa yang pengurusnya kata tentang mereka cuba untuk mendaftar adalah tidak benar," katanya, Ahad.

Noormah juga berkata jabatan itu telah menerima aduan mengenai ketidakpatuhan rumah perlindungan itu terhadap Akta Pusat Jagaan sejak 2010 dan ia tidak dikendalikan dengan betul.

Beberapa wanita yang tinggal di rumah juga telah mendakwa bahawa bayi mereka telah 'dirampas' daripada mereka dan "dijual" kepada ibu bapa angkat.

Noormah menggesa wanita-wanita tersebut membuat aduan dengan pihak polis.

Beliau juga berkata jabatan itu sedang bekerja keras untuk mendaftarkan lebih banyak rumah kebajikan dan perlindungan, sambil menambah terdapat sebanyak 1,357 rumah tidak berdaftar berbanding 928 yang berdaftar.

"Kami telah menjalankan banyak kursus bagi pengendali rumah ini untuk memastikan kualiti penjagaan di pusat perlindungan ini menepati standard kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan penghuni," katanya.

Noormah berkata, program pendaftaran yang telah dijalankan baru-baru ini, telah membolehkan jabatan mengenal pasti rumah perlindungan haram.

Artikel Lain