suria

Lima Penyamun Belasah Tukang Rumah Warga Indonesia

KUANTAN: Seorang tukang rumah berdepan saat mencemaskan apabila disamun lima lelaki selepas dibelasah dan ditoreh dengan pisau pemotong daging di rumahnya di Felda Bukit Goh, dekat sini.

Dalam kejadian 9.30 malam Sabtu, mangsa M.Nasir, 39, warga Indonesia berasal dari Acheh berkata sebelum kejadian dia didatangi lima suspek berkenaan yang mengetuk pintu serta memberi salam.

"Saya hanya terbayang mati apabila seorang daripada lima penyamun berkenaan mengugut akan menghiris telinga kanan jika tidak memberitahu tempat saya menyimpan wang.

"Saya beritahu kepadanya wang simpanan tidak banyak dan ambil saja yang ada depan mata namun mereka tidak berpuas hati sebelum membelasah serta menoreh paha kanan saya dengan menggunakan pisau pemotong daging sehingga darah memancut," katanya kepada pemberita di sini petang ini.

Katanya suspek menggeledah rumahnya sebelum melarikan seutas rantai tangan emas, empat jam tangan dan wang tunai RM200 yang kesemuanya dianggarkan lebih RM2,000.

Sementara itu, jurucakap polis ibu pejabat polis daerah Kuantan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan polis kini sedang memburu kelima-lima suspek berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain