suria

Rakyat Perlu Kekal Kesinambungan Pemerintahan - PM

ALOR GAJAH: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu memilih mengekalkan kesinambungan pemerintahan negara bagi meneruskan agenda transformasi yang telah dirancang oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata sebagai contoh, rakyat boleh menilai corak pengundian rakyat Amerika Syarikat yang memilih Barrack Obama sebagai presiden negara itu bagi tempoh empat tahun lagi kerana ingin melihat kesinambungan transformasi yang dibawa oleh beliau.

"Rakyat Amerika Syarikat mempunyai dua pilihan sama ada nak merubah atau mengekalkan kesinambungan.

"Apabila mereka tidak yakin dengan agenda calon parti Republikan Mitt Romney, jadi mereka fikir lebih baik pilih kerajaan sama kerana ingin mengekalkan kesinambungan dan saya percaya itu keputusan yang amat tepat dan bijak," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Melaka di Kuala Linggi di sini, Sabtu.

Beliau berkata rakyat Malaysia patut mengikut apa yang dilakukan rakyat Amerika dalam menjamin masa depan negara mereka.

"Ada hal tertentu yang kita boleh ikut (rakyat Amerika) seperti soal kesinambungan daripada menyokong sesuatu yang kabur, tetapi soal seperti LGBT (gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan lain-lain itu tak perlulah kita ikut," katanya.

Justeru, Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) berjanji bukan hanya untuk mengekalkan kesinambungan pembangunan malah melaksanakan transformasi besar untuk negara jika terus diberikan mandat oleh rakyat.

Beliau berkata perubahan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata seperti yang dilaung-laungkan oleh pembangkang.

"Jangan termakan dengan janji-janji manis pembangkang kerana ini semua janji-janji kosong yang tidak mungkin dapat ditunaikan," katanya.

Katanya menjadi tanggungjawab rakyat untuk memilih kerajaan yang mampu menjamin masa depan mereka serta negara dan bukannya mengharap janji yang tidak jelas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain