suria

Kilang, Pembekal Hanya Dibenar Simpan 10 Peratus Stok Pada Musim Perayaan

BERA: Kerajaan hanya membenarkan kilang, pembekal serta peniaga menyimpan 10 peratus atau lebih stok barangan keperluan pada setiap musim perayaan bagi mengelakkan kehabisan bekalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu juga katanya bagi mengelak harga barangan melambung setiap kali musim perayaan.

"Maka saya kira tiada sebab barang-barang terbabit kehabisan atau dijual mahal (ketika musim perayaan)," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan perayaan Deepavali yang dihadiri lebih 1,000 masyarakat India di Triang, Bera di sini Ahad.

Dalam pada itu beliau sekali lagi memberi jaminan, bekalan barang-barang keperluan untuk sambutan perayaan Deepavali Selasa ini adalah mencukupi.

"Bekalan daging kambing tempatan dan import, bawang merah, ubi kentang, tepung gandum, minyak masak dan sayur-sayuran mencukupi (untuk sambutan Deepavali).

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa bekerjasama bagi mengatasi kekurangan bekalan barangan keperluan berkenaan," katanya.

Beliau juga turut menasihatkan orang ramai agar bijak menggunakan kuasa membeli agar tidak membeli barangan dengan kuantiti yang banyak dan lebih dari yang sepatutnya bagi mengelak barang kehabisan di pasaran sekaligus menyebabkan harganya melambung.

"Kenaikan harga barang dan kehabisan bekalan barang keperluan berlaku adalah disebabkan penguna sendiri berebut-rebut membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, manakala peniaga pula mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Sehubungan itu beliau menggesa pengguna supaya bijak berbelanja dan melaporkan kepada KPDNKK jika terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan terutama di musim perayaan ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain