suria

Musa Ikrar Terus Bangunkan Beaufort

BEAUFORT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berikrar untuk terus memajukan Beaufort yang berpotensi untuk membangun setanding daerah lain di negeri ini.

Musa berkata Beaufort masih kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan penduduknya harus menikmati kemajuan seiring kemajuan negeri dan negara.

"Pemimpin tertentu tidak berbuat apa-apa (memajukan Beaufort)...salah siapa kalau Beaufort mundur.

"Kerajaan negeri dibantu Pemuda Umno Beaufort akan memastikan Beaufort dan kawasan sekitarnya iaitu Klias dan Kuala Penyu, Sipitang dan Sindumin tidak ketinggalan dari arus pembangunan," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Belia Gegar Beaufort 3 dan pelancaran NR Fan Club anjuran Pemuda Umno Beaufort, di sini, Sabtu.

Musa yang juga pengerusi Umno Sabah, berkata rakyat di negeri ini tidak harus memperjudikan masa depan mereka demi kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

Beliau percaya rakyat di daerah ini juga tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang bersifat "angan-angan mat jenin" dan berbohong tentang pembangunan sedia ada di negeri ini.

Musa berkata golongan belia yang menjadi undi penentu harus membuat pilihan tepat bagi menentukan kemenangan kepada kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

Menurutnya kerajaan negeri mahupun pusat sentiasa mengambil kira pandangan serta aspirasi generasi itu dalam setiap perancangan seperti peruntukan besar untuk anak muda dalam Belanjawan 2013.

Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Pemuda Umno Beaufort, Mohd Ishak Ibrahim berkata karnival itu merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan belia dalam proses pembangunan negara.

Antara program pada karnival itu ialah kaunter pendaftaran daftar pemilih, kaunter borang BRIM 2.0, ruang amal derma darah, tarik tali terbuka Borneo, 'Battle of the Gambus', Bina Badan Mr Gegar, pertandingan kereta kawalan jauh dan bola keranjang tiga sepasukan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain