suria

Kementerian Kesihatan Sahkan Produk Ayamas Bebas Antibiotik

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan ujian pada sampel 41 produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) sehingga hari ini, mendapati tiada residu antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan.

Hari ini, 10 sampel produk yang dikilangkan pada 10 Jun tahun ini diuji untuk memastikan tahap keselamatan produk keluaran syarikat itu yang terdapat di pasaran termasuk di Sarawak dan mendapati tiada residu antibiotik berkenaan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan terhadap produk ini dan produk-produk lain dengan menjalankan pensampelan berterusan di kilang dan di pasaran. Keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Khamis lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam Ayamas berkuatkuasa serta merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol. Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu Dewan Rakyat, keputusan ujian makmal terhadap 31 sampel produk ayam syarikat Ayamas mendapati ia bebas antibiotik Chloramphenicol.

Dr Lokman berkata Kementerian Kesihatan juga menjalankan siasatan di kilang Ayamas Corporation Sdn Bhd di Pelabuhan Klang, Selangor yang mengedarkan semua produk Ayamas di seluruh negara dan juga pasaran antarabangsa.

Beliau berkata kilang itu juga mendapat pengiktirafan sistem jaminan keselamatan makanan Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) dari Kementerian Kesihatan bagi beberapa produk.

"Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan telah mengambil sebanyak 18 sampel yang merangkumi pelbagai jenis produk berasaskan daging ayam dari kilang pemprosesan itu bagi tujuan analisis residu antibiotik Chloramphenicol," katanya.

Chloramphenicol bersifat genotoksis dan boleh menyebabkan kanser. Pendedahan kepada residu Cchloramphenicol melalui makanan yang tercemar juga berpotensi menyebabkan kerintangan kepada mikroorganisma (antimicrobial resistence). Pencemaran Cchloramphenicol dalam makanan dikawal di bawah Seksyen 13 (1) Akta Makanan 1983 di mana mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Seksyen itu boleh dibaca bersama Peraturan 40 (5), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di mana tiada seorang pun boleh mengimport atau menjual apa-apa makanan untuk makanan manusia yang mengandungi Chloramphenicol. Dr Lokman berkata Kementerian Kesihatan sentiasa prihatin terhadap tahap keselamatan makanan yang dijual di pasaran. Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan isu-isu keselamatan makanan termasuk penyalahgunaan Chloramphenicol dalam daging ayam.

"Sejak tahun 2010 sehingga September 2012, sebanyak 299 sampel daging ayam telah dianalisis dan didapati tiada residu antibiotik Chloramphenicol yang dikesan.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana Kementerian Kesihatan sentiasa prihatin terhadap tahap keselamatan makanan yang dijual di pasaran demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan orang ramai," katanya.

Dr Lokman berkata Kementerian Kesihatan mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung isu keselamatan dan kualiti makanan dengan menghantarnya sama ada melalui telefon (03-888335588). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain