suria

Dua Suspek Tikam Pemandu Bas Kilang Dicari

BALIK PULAU: Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemandu bas kilang maut ditikam dalam pertengkaran di hadapan sebuah kilang di Taman Perindustrian Bayan Lepas, Fasa 4 dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata mereka ialah A. Movin Naidu, 21, dari Lebuh Sungai Burung 2, Balik Pulau dan rakannya R. Thinakaran, 24, dari Taman Nyaman Indah juga dari Balik Pulau.

Beliau berkata usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan dan berharap orang ramai yang mengenali mereka agar menghubungi mana-mana balai polis.

"Movin Naidu yang baru sahaja tamat pengajian di sebuah kolej swasta di di sini dan rakannya yang tidak bekerja dipercayai masih bersembunyi di sekitar Pulau Pinang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa S. Suresh Raja, 37, ditikam berikutan telah menunjukkan isyarat lucah kepada suspek sebelum berlaku pertengkaran.

Sementara itu Hatta berkata polis juga telah menahan seorang wanita berusia 20-an dua hari lepas bagi membantu siasatan kes berkenaan dan direman sehingga 15 November ini.

"Wanita yang ditahan itu berada bersama dua lelaki berkenaan semasa kejadian. Polis berjaya menahannya di Balik Pulau bagi membantu siasatan kejadian terbabit," katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan bahu maut ketika dalam perjalanan ke hospital. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain