suria

Rakyat India Ditahan Kerana Seludup Dadah Ketamin

JOHOR BAHARU: Kastam Johor menahan seorang warga India berusia 41 tahun kerana menyeludup dadah ketamin bernilai RM140,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai di sini Rabu lalu.

Lelaki yang tiba dari Mumbai setelah singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu ditahan pukul 4 petang selepas imbasan ke atas dua bagasinya menunjukkan ada barang yang meragukan.

Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kastam menemui dua bungkus plastik lutsinar yang disorok di dalam bahagian rahsia dua daripada tiga beg yang dibawa lelaki berkenaan.

"Dua bungkusan tersebut berisi serbuk kristal yang dipercayai dadah jenis ketamin dengan anggaran kasar kedua-dua bungkusan tersebut seberat empat kilogram bernilai RM140,000," kata Timbalan Pengarah Kastam Johor, Abdullah Sidik di sini, Jumaat.

Beliau memberitahu pemberita di Menara Kastam di sini, lelaki itu kini ditahan reman selama 14 dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Abdullah berkata pihaknya masih menyiasat ke mana dadah itu hendak dipasarkan.

Pada September lalu, Kastam Johor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis metamphetamine bernilai keseluruhan RM2.09 juta ke negara ini melalui Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain