suria

Kerajaan Digesa Naikkan Harga Rokok

SEREMBAN: Kerajaan digesa untuk menaikkan harga minimum rokok yang mengandungi 20 batang kepada RM20 sekotak berbanding RM7 pada masa ini.

Malah kerajaan juga telah diminta menggesa pengeluar dan pengimport rokok untuk mengurangkan paras nikotin dan tar antara 1mg dan 10mg daripada tahap semasa iaitu antara 1.5mg dan 20mg setiap batang.

Ini adalah antara pandangan yang diterima oleh Kementerian Kesihatan daripada orang ramai melalui maklum balas dalam talian kementerian itu baru-baru ini.

Kementerian mendapatkan maklum balas awam mengenai perkara itu bagi mengukuhkan peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Ini adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menggalakkan rakyat, khususnya di kalangan anak muda daripada meneruskan tabiat merokok.

Kerajaan menaikkan harga minimum untuk satu pek rokok kepada RM7 pada September lalu.

Ketika ini satu pek rokok yang mengandungi 20 batang dijual pada harga antara RM8.70 dan RM10.60.

Malah beberapa responden diminta agar peningkatan hampir tiga kali ganda daripada harga minimum sedia ada kerana merasakan harga sekarang bukan penghalang untuk golongan muda.

Selain itu terdapat koresponden yang meminta kementerian untuk meletakkan syarat agar pembuat dan pengimport cerut dan dan shisha agar mencetak gambar kesan buruk merokok pada produk mereka.

Pada masa ini, pengeluar rokok sahaja dikehendaki untuk berbuat demikian.

Mereka juga mahu kementerian mengenakan peraturan bagi semua syarikat tembakau dan pengimport produk berkaitan untuk membesar saiz grafik daripada 40 peratus kepada 70 peratus.

Cadangan lain termasuk mengharamkan rokok di pub, disko, kelab malam, kasino, lobi hotel dan kedai makan bukan berhawa dingin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain