"Tiada Sebab Bunuh Sosilawati Dan Tiga Rakannya" Kata Pekerja Ladang - Semasa | mStar

"Tiada Sebab Bunuh Sosilawati Dan Tiga Rakannya" Kata Pekerja Ladang

SHAH ALAM: Tertuduh ketiga dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Rabu bahawa tiada sebab untuk dia membunuh keempat-empat individu itu pada malam 30 Ogos 2010 di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

R.Matan, 22, juga berkata, dia tidak pernah mendengar nama jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya sepanjang bekerja di ladang tersebut dan tidak pernah diarahkan oleh mana-mana individu untuk membunuh mereka.

Menjawab soalan peguamnya Amer Hamzah Arshad ketika pemeriksaan utama, tertuduh berkata dia hanya mengetahui nama dan wajah keempat-empat individu itu selepas dia ditangkap serta disoal siasat oleh pihak polis.

"Pernah atau tidak N.Pathmanabhan (tertuduh pertama) dan R.Kathavarayan (tertuduh keempat) sebut nama mereka pada kamu," soal Amer Hamzah dan Matan menjawab tidak.

"Pernah atau tidak kamu lihat dua kenderaan jenis BMW memasuki ladang pada 30 Ogos 2010," soal Amer Hamzah dan tertuduh menjawab tidak.

"Pada malam 30 Ogos 2010, ada kamu atau mana-mana individu yang berada di ladang membuat sebarang pembakaran api besar," soal Amer Hamzah dan Matan menjawab tidak.

"Pada malam 30 Ogos 2010 ada kamu melupuskan apa-apa mayat dengan cara pembakaran dan ada atau tidak kamu dengar jeritan wanita," soal Amer Hamzah dan tertuduh menjawab tidak.

"Saya bersembang dengan Thilaiyalagan di pondok kemudian tunggu sehingga Ravi (Kathavarayan) dan K.Sarawanan (saksi ke-29 pendakwaan) datang untuk makan dan sambut kemerdekaan," kata tertuduh semasa menjawab soalan Amer Hamzah mengenai apa yang dilakukannya sepanjang waktu berada di pondok rehat bersama T.Thilaiyalagan (tertuduh kedua) pada malam 30 Ogos 2010 sehingga tengah malam.

Matan, bekas peguam Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, dan Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kepada soalan Amer Hamzah, Matan berkata, dia tidak berhubung dengan Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan melalui talian telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 30 Ogos 2010.

"Pada malam itu (30 Ogos) kira-kira pukul 8.30 malam hingga 9 malam dengan siapa kamu berhubung melalui SMS," soal Amer Hamzah.

"Saya berhubung dengan teman wanita saya," jawab Matan.

"Dari pagi 30 Ogos 2010 sehingga malam tarikh sama, selain teman wanita kamu, ada kamu hubungi mana-mana individu lain," soal Amer Hamzah.

"Ya saya hubungi Sarawanan kerana dia janji nak datang ke sambutan kemerdekaan (di ladang). Saya hubungi dia untuk tanya dia sudah bergerak ke sini atau tidak," jawab tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tidak Guna Izzah Dolak-dalik - Ahmad Maslan

Artikel Berikut

1,000 Ikuti Proses Pemilihan Presiden AS

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain