suria

Tayangan Filem 'Tanda Putera' Ditangguh Atas Keputusan Jemaah Menteri - Rais

KUALA LUMPUR: Penangguhan penayangan filem 'Tanda Putera' diputuskan Jemaah Menteri kerana terdapat babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat di negara ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, demi kebaikan antara kaum, Jemaah Menteri memutuskan bahawa penayangan filem itu wajar ditangguhkan sebab mengandungi babak yang mungkin menimbulkan konflik keras.

"Sebab ada antara adegan dalam filem itu memaparkan tragedi 13 Mei 1969 yang dipertikaikan oleh ramai pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Komuniti 1Malaysia: Himpunan Kasih Sayang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 di Kampung Puah Lembah, Wangsa Maju di sini, Khamis.

Filem sejarah itu memaparkan kisah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Filem itu diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Finas melibatkan belanja RM4.8 juta dan diarahkan Datin Suhaimi Baba.

Ditanya sama ada babak filem itu akan dibuat semula, Rais berkata: "Saya tak fikir begitu (dibuat semula). Saya fikir akan diadakan mesyuarat penilaian antara pengarah dan Finas," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain