suria

Sesetengah Agensi Pembantu Rumah Minta Bayaran Lebih Daripada Majikan - Mama

PETALING JAYA: Majikan Amah Malaysia (Mama) mendakwa beberapa agensi secara tidak rasmi mengenakan bayaran antara RM7,000 dan RM8,000 kepada majikan bagi mengambil pembantu rumah Indonesia walaupun bayaran telah ditetapkan sebanyak RM4,511.

Presidennya Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein juga mempersoalkan mengapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia terhadap pembantu rumah ditandatangani apabila yuran boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa kos pembantu rumah yang dijangka meningkat .

Menerusi MoU itu, daripada jumlah RM4,511, RM2,711 adalah untuk agensi dan bakinya adalah bayaran pendahuluan RM300 gaji pembantu rumah selama enam bulan yang perlu dibayar majikan secara ansuran.

Terdahulu akhbar The Star melaporkan bahawa majikan Malaysia sedang dihimpit oleh kedua-dua belah pihak berikutan rancangan meningkatkan bayaran pembantu rumah Indonesia, dan pelan kerajaan Filipina untuk mengurangkan bilangan rakyatnya yang akan dihantar ke sini sebagai pembantu rumah.

Sementara itu, beberapa orang yang ditemuramah berkata, rakyat Malaysia perlu bersedia tidak mengupah pembantu rumah asing atau membayar lebih untuk mereka.

Ahli perniagaan Raymond Tan, 43, berkata, keluarganya berjaya mengupah seorang pembantu rumah selepas dua tahun menunggu.

"Walaupun ibu saya melakukan kebanyakan kerja-kerja rumah, dia memerlukan seseorang untuk membantunya membersih dan mengemas," kata bapa kepada tiga anak yang isterinya juga bekerja.

Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam memberitahu pemberita semalam bahawa kerajaan belum menerima maklumat rasmi bahawa Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur telah berhenti memberi akreditasi kepada agensi-agensi pembantu rumah baru untuk membawa masuk pembantu rumah dari negara itu.

Beliau menambah, Jabatan Tenaga Manusia telah diarahkan untuk menyiasat kesahihan laporan akhbar dengan pihak kedutaan.

"Jika betul, kita mahu tahu apakah sebab keputusan itu dibuat oleh kedutaan. Setakat ini kita tidak mempunyai isu dengan pembantu rumah dari Filipina," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain